Selasa, 7 Mei 2013

Jaundis


Jaundis

Jaundis merupakan penyakit yang biasa dialami bayi yang baru dilahirkan. Lazimnya ia dapat dikesan selepas 24 jam bayi itu dilahirkan. Hari ini, sekitar 50 peratus bayi yang dilahirkan mendapat jaundis. Biarpun jaundis adalah suatu penyakit yang biasa dihidapi bayi namun ia boleh menjejaskan kesihatan bayi. Jaundis yang teruk, jika tidak ditangani dengan betul boleh mengundang risiko. Bayi boleh menjadi pekak dan kemungkinan kerosakan otak.
Jaundis bermaksud kehadiran warna kuning di bahagian kulit bayi dan bahagian putih mata (Sklera)  yang disebabkan oleh terlalu banyak mendapan bilirubin di dalam badan.
Bilirubin dihasilkan secara berterusan di dalam badan tetapi ia dinyahkan daripada badan dengan pantas berbanding penghasilannya. Maknanya, jaundis tidak akan berlaku selagi bilirubin dapat disingkirkan dengan cepat berbanding penghasilannya di dalam badan. Jaundis terjadi akibat pengeluaran bilirubin yang berlebihan dan tidak dapat dinyahkan oleh hati. Lebihan bilirubin itu akan mengalir melalui saluran darah ke lain-lain bahagian badan dan menyebabkan kulit menjadi kuning. Ia berkemungkinan disebabkan oleh proses penyingkiran bilirubin oleh organ hati yang begitu perlahan.
Paras kepekatan bilirubin yang begitu tinggi dan berada lama di dalam darah boleh merosakkan otak bayi. Justeru ibu bapa perlu peka dengan keadaan bayi, bayi perlu mendapat rawatan segera, tanpa mengira apakah puncanya.
Segera Dapatkan Rawatan
Apa yang penting, bayi perlu diberi rawatan secepat mungkin apabila paras kepekatan bilirubin sangat tinggi. Ia boleh mengelak terjadinya kenicterus.
Kenicterus yang asalnya daripada dua perkataan Greek adalah nama yang diberikan kepada kerosakan otak akibat bilirubin yang berlebihan dan melekat di otak. Ibu bapa tidak perlu risau sekiranya, paras jaundis bayi adalah rendah kerana ia tidak begitu membahayakan.
Jenis Jaundis
Selain jaundis biasa terdapat sejenis jaundis yang dikenali sebagai jaundis fisiologikal.
Jaundis ini berlaku di kalangan bayi yang baru lahir. Pada kebanyakan bayi yang baru dilahirkan, sel darah merah yang berlebihan akan pecah dan disingkirkan daripada tubuhnya. Sel-sel darah merah yang terpecah ini pula akan membebaskan pigmen bilirubin. Ia juga mungkin membebaskan pigmen bilirubin.
Hal ini terjadi, disebabkan hati bayi yang baru lahir itu belum matang dan tidak mampu mengendalikan penghasilan bilirubin yang berlebihan. Ini juga bermakna bilirubin ini tidak dapat disingkirkan dengan secepat yang dikehendaki lantas mengakibatkan jaundis.
Biasanya jaundis fisiologikal ini berlaku di kalangan bayi yang berusia 3 - 4 hari dan mungkin berlarutan sehingga 5 - 7 hari.
Punca Jaundis
Perbezaan kumpulan darah antara ibu dan anak juga boleh menyebabkan jaundis. Selain itu jaundis mungkin juga disebabkan sel darah merah yang tidak normal seperti kekurangan G6PD (Glucose-6-Phosphate- Dehydrogenase). Bayi yang menghidap jangkitan boleh juga mendapat jaundis. Bawalah bayi ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jaundis dan Risikonya
Ibu bapa diingatkan bahawa jaundis yang teruk boleh menjejaskan otak dan merosakkan otak bayi. Ia berlaku khususnya kepada bayi yang mempunyai sel darah merah yang abnormal, kekurangan G6PD dan Rhesus yang tidak sesuai dengan ibunya. Keadaan ini menyebabkan paras bilirubin menjadi sangat tinggi di dalam darah. Apa yang tidak diketahui sehingga ini ialah sama ada kerosakan otak akan berlaku juga pada bayi yang mempunyai sel darah merah yang normal.
Terdapat bukti-bukti saintifik menunjukkan jaundis jarang berlaku pada bayi yang mempunyai sel darah merah yang normal. Kebaikan paras bilirubin rendah mahupun ringan tidak dapat dipastikan tetapi sesuatu yang pasti, bilirubin mempunyai agen anti- oksidan namun kepentingannya tidak diketahui. Apa yang diketahui ialah paras bilirubin yang rendah tidak memudaratkan bayi. Majoriti bayi yang menghidapi jaundis yang teruk membesar menjadi kanak-kanak yang normal.
Bagaimanapun hanya segelintir yang menghadapi jaundis teruk  mempunyai risiko menghidapi cerebral palsy atau palsi serebrum dan pekak. Tanda-tanda penyakit palsi ini mungkin tiada sehinggalah bayi membesar dan berkembang.
Bayi perlu menjalani pemeriksaan oleh pakar pediatrik bagi mencari bukti kehadiran palsi serebrum. Biasanya pemeriksaan perlu dijalankan dua hingga empat kali setahun untuk tempoh dua tahun pertama. Bayi yang menghidap jaundis biasanya mengalami najis berwarna kekuningan atau kehijauan. Najis berwarna pucat di kalangan bayi itu memberi isyarat penting bagi anda untuk membawanya berjumpa doktor untuk rawatan seterusnya.
Najis berwarna pucat bermakna terdapat penyekatan saluran hempedu di antara hati dan usus kecil. Jaundis biasanya tidak memudaratkan namun jangan diambil mudah. Berjumpalah dengan doktor untuk mendapat rawatan segera bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Rawatan Hospital
Sekiranya bayi dimasukkan ke wad kerana jaundis, ia tidak mengambil masa yang begitu panjang atau lama. Selalunya bayi masih mengalami sedikit kekuningan dibenarkan untuk dibawa pulang.
Bayi yang mendapat jaundis ini akan diberi rawatan di bawah sinar cahaya atau rawatan fototerapi untuk beberapa hari.Kekuningan itu akan hilang dalam beberapa hari sahaja. Bagaimanapun adalah penting bagi ibu atau bapa memastikan jaundis yang dialami bayi akan pulih sepenuhnya selepas tempoh tersebut. Demi memastikan bayi bebas jaundis, ibu bapa atau penjaganya perlu membawa bayi seminggu selepas bayi keluar dari hospital. 
Mengenai pengambilan susu kambing oleh bayi yang menghidap jaundis, perbuatan itu wajar dielakkan.  Ini kerana susu kambing mengandungi zat-zat galian yang lebih tinggi berbanding susu lembu dan susu badan.
Ibu-ibu dinasihatkan meneruskan penyusuan kerana ia dapat membantu menurunkan kadar kekuningan bayi. Sememangnya susu ibu amat berharga dan terbaik dalam membantu mempercepatkan proses mengurangkan kekuningan pada bayi. 
Setelah bayi mendapat susu yang cukup ia membantu mempercepatkan proses menyahkan bilirubin menerusi pembuangan air besar atau air kecil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan